Thursday 24 February 2022

BADAN CANTIK: SATU DISKUSI (BAHASA MALAYSIA)

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Wow! Sudah sekian lama kami tidak mengemaskini blog. Maaf ya, sekalian, kerana kurang peka dengan kendalian blog ini selama beberapa tahun.

Kini, kami kembali dan kami ingin berkongsi dengan anda satu diskusi mengenai Kategori BADAN CANTIK – satu cabang bina badan yang meletup sekitar 2011-2012 dan semenjak itu, telah menjadi topik utama di kalangan warga sukan ini, terutama sekali para atlet.

Sejujurnya, kami sangat gembira melihat blog ini masih berfungsi dengan baik, biarpun telah ‘terbiar’ selama beberapa tahun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Kami melihat blog ini sebagai pelantar yang berkesan dalam memuat-naik garapan diskusi yang agak panjang seperti ini – satu kemudahan yang tidak disediakan di media Instagram dan Twitter.

Baiklah, kembali kita ke isu Badan Cantik dan mengupas mengapa ia menjadi satu topik yang menjana perhatian. Ayuh, sahabat...!



BADAN CANTIK – 1

Beberapa siri diskusi mengenai Badan Cantik (juga dipanggil Body Beautiful atau Body Smart) telah mendapat perhatian kami, di mana salah satu isu yang diutarakan adalah perbalahan mengenai penghakiman untuk kategori ini.

Seperti yang dinyatakan sebelumnya, pertandingan Badan Cantik di Malaysia diandaikan bermula sekitar akhir 2011 dan awal 2012, dan selepas itu, ia terus ‘meletup’. Kami percaya kategori ini diinspirasikan daripada satu displin yang agak baharu diperkenalkan oleh beberapa persekutuan bina badan dunia yang utama, sebagai ruang untuk para peserta yang mahu mencapai struktur otot yang cukup menarik untuk diperagakan di atas pentas, tetapi tidak terlalu besar dan penuh seperti atlet bina badan.

Kategori ini mempunyai beberapa nama yang berlainan – dalam WBPF, daripada mana sistem penghakiman Mr Malaysia disandarkan, ia dikenali sebagai Men’s Sports Physique; dalam IFBB, ia adalah Men’s Physique; dalam NABBA, ia adalah Sports Shorts; manakala dalam WFF, ada dua cabang: Sports Model, di mana para peserta memakai seluar renang potongan Eropah, dan Beach Model di mana mereka memakai ‘board shorts’ (seluar pendek paras atas lutut); ada juga beberapa organisai yang memberi nama kategori ini sebagai Fitness Model.

Satu aspek yang jelas mengenai kategori ini adalah pakaian: dapat dilihat IFBB, WBPF dan persekutuan utama dunia menetapkan para peserta kategori ini untuk memakai ‘board shorts’ atau seluar renang, dan bukan ‘posing trunks’ iaitu peragaan yang ditetapkan untuk atlet bina badan.
Aspek ini juga diaplikasi untuk para peserta Badan Cantik – tiada posing trunks. Sebaliknya, mereka memakai seluar panjang, umumnya daripada material denim, namun dalam beberapa pertandingan, pemakaian ‘joggers’ atau ‘sweatpants’ (seluar sukan) juga diterima, berdasarkan konsep asas Badan Cantik, iaitu perhatian kepada bahagian atas tubuh (torso) yang tegap berotot, dan bukan pada bahagian kaki.



BADAN CANTIK – 2
Bagaimanapun, perkara yang boleh mencetus perbalahan adalah adalah kriteria penghakiman untuk Badan Cantik, di mana aduan yang diutarakan adalah tiada konsistensi di antara satu acara dengan yang lain – adakalanya dilihat sebagai terlalu berbeza sehingga menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati di kalangan peserta dan juga para pemerhati.

Yang kami perhatikan adalah kategori Badan Cantik di Malaysia ini dihakimi berdasarkan lima ‘pose’ (peragaan) wajib. Dalam perihal ini, kami memahami bagaimana ia boleh mengelirukan – jika, dan hanya jika, Badan Cantik ini didasarkan kepada kategori di mana para peserta memakai board shorts sebagaimana yang disebut sebelumnya.

Sememangnya, Badan Cantik bukan kategori ‘posing trunks’.

Dari segi ‘poses’ pula, jika bersandarkan kepada siri peraturan yang ditetapkan oleh majoriti persekutuan antarabangsa, setiap peserta Badan Cantik sepatutnya hanya mempersembahkan EMPAT pose wajib iaitu ‘quarter-turn right I’ (suku pusingan kanan I), ‘quarter-turn back’ (suku pusingan belakang), ‘quarter-turn right II’ (suku pusingan kanan II), dan ‘quarter-turn front’ (suku pusingan hadapan); dan bukan TUJUH sepertimana dalam kategori bina badan.

Apa yang dipraktiskan di Malaysia adalah kategori Badan Cantik, bersama-sama kategori Athletic Physique (diperkenalkan buat pertama kali di Mr Malaysia 2017), telah ditetapkan untuk mempunyai LIMA pose wajib: ‘front double biceps’, ‘side chest’, ‘back double biceps’, ‘side triceps’ dan ‘abdominal-thigh’. Ada ketikanya untuk kategori Badan Cantik, pose ‘back double biceps’ tidak disenaraikan. 

Berdasarkan rujukan yang dibuat, tiada mana-mana bentuk atau sistem lima ‘poses’ ini dalam IFBB dan WBPF; namun untuk kategori Sports Shorts  dalam NABBA, ditetapkan bahawa para peserta untuk memperagakan front biceps, left-side oblique (sisi torso), back biceps, right-side oblique, dan pose bahagian hadapan kegemaran mereka – di samping persembahan ‘quarter-turns’ (suku pusingan).

Sebaliknya dalam pembacaan kami mengenai set peraturan WFF, tiada dinyatakan apa-apa butir mengenai kriteria penghakiman untuk kategori Sports Model dan Beach Model, namun persekutuan ini jelas sekali memisahkan dua kategori ini jauh daripada bina badan.



BADAN CANTIK – 3

Untuk lebih pencerahan, ayuh kita melihat syarat-syarat untuk kategori-kategori utama bina badan lelaki yang telah ditetapkan oleh para persekutuan antarabangsa utama. Dalam perihal ini, kami merujuk lebih kepada IFBB, di mana sistem peraturannya dianggap sebagai cetak biru buat sebahagian besar badan-badan peringkat dunia; dan juga kepada WBPF, yang merupakan badan induk kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia.

Set foto yang tertera di atas umumnya memaparkan beberapa aspek perbezaan di antara empat kategori yang dibincangkan dalam artikel ini, terutamanya aspek jenis fizikal dan pemakaian.

Gambaran yang lebih terperinci dijelaskan berikutnya.


Bina Badan / Athletic Physique / Classic Physique
>Untuk bina badan, keseluruhan bahagian tubuh dan otot-otot harus ‘dibina’ (sepertimana istilah sukan ini, ‘bina badan’) ke tahap saiz yang maksimum setakat mana yang dapat dicapai berdasarkan berat badan, namun strukturnya mesti masih seimbang dan harmoni.

>Kualiti otot haruslah diterjemahkan kepada ‘mass/density’ (jisim dan kepadatannya), ‘separation’ (pemisahan di antara butir-butir dan serat-serat otot) dan ‘definition’ (penampakan otot yang jelas). Mana-mana peserta yang dapat menyerlahkan aspek-aspek ini dengan paling mantap, secara idealnya, akan diberi markah cemerlang oleh hakim-hakim yang adil, kompeten dan patuh kepada panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.

>Kriteria yang sama juga diaplikasi dalam penghakiman kategori Physique/Classic, kecuali untuk kelas-kelas ini, pengkhusan diberi kepada keseluruhan susuk fizikal melalui aspek ‘proportion’ (kepadanan – saiz jisim satu-satu anggota tubuh kelihatan ‘terletak’ dengan ukuran panjang atau tingginya) dan simetri (setiap sisi tubuh yang bertentangan kelihatan seimbang, seolah-olah dilihat melalui cermin pantulan), di samping bentuk dan kondisi otot yang cantik dan terbentuk.

>Semua kelas dalam kategori besar ini ada TUJUH pose wajib. Pose quarter-turns dalam bina badan selalunya dipersembahkan pada pusingan awal (preliminary), dan dalam semua pusingan bagi acara Physique/Classic.

>Satu lagi perbezaan adalah bina badan didasarkan seluruhnya kepada berat badan, di samping mempunyai variasi sub-kategori selalunya Junior (20 tahun dan ke bawah), Senior (21 tahun dan ke atas) dan Masters (rata-rata 41 tahun dan ke atas); dalam Physique/Classic, cabang ini menghadkan jisim tubuh (berat badan) kepada ketinggian berdasarkan formula yang telah ditetapkan oleh setiap persekutuan masing-masing dalam menentukan kelayakan. Dalam sesetengah kejuaraan, kelas Physique/Classic juga ada sub-kategori Junior, Senior dan Masters.

>Di kalangan umum, dua-dua cabang ini mungkin kelihatan sama sekilas pandang, terutamanya di kalangan peserta dalam kelas berat badan yang sama. Namun jika diteliti, akan nampak bahawa para peserta kelas Classic/Athletic kelihatan rata-rata sama saiz dan sama tinggi di atas pentas, jika dibandingkan dengan barisan atlet bina badan.

>Pose Wajib: Bina Badan

>Pose Wajib: Physique/Classic



Physique / Sports Physique / Model Physique / Sports Shorts / Beach Model / Fitness Model
>Perhatian diberikan kepada keseluruhan penampilan – susuk tubuh tegap dengan pembentukan otot-otot yang simetri, tidak keterlaluan dan juga kondisi yang tidak sebu dan sembab (paras air dan lemak tubuh yang masih banyak); rupa paras yang rapi dan bergaya; serta pembawaan diri yang yakin, cergas dan menyenangkan.
Pendek kata, yang dicari adalah penampilan gaya seorang ‘male fitness model’ (peragawan sukan).
Pemerhatian akan dibuat melalui empat ‘quarter-turns’ – siri peragaan khusus buat para peserta yang memiliki susuk fizikal yang tidak ‘sebesar dan setebal’ para ahli bina badan dan atlet Athletic Physique.

>Struktur dan definisi otot yang keterlaluan sasa tidak sekali-kali akan disertakan dalam pemarkahan, dan begitu juga keadaan susuk yang tidak dibentuk dengan seimbang, serta kondisi sebu dan sembab.
Biarpun kategori ini tidak melihat pada struktur otot yang terlalu besar, mana-mana peserta yang hanya kurus – walaupun otot-otot mereka agak terbentuk – tidak akan mendapat markah yang optimum.
Matlamat penilaian adalah mereka yang berhasil membina otot mereka secara baik, di mana pembetukannya membuat keseluruhan penampilan ‘tegap dan terletak’.

>Satu persamaan kategori ini dengan kelas Physique/Classic adalah ia juga menghadkan jisim tubuh (berat badan) kepada ketinggian berdasarkan formula yang telah ditetapkan oleh setiap persekutuan masing-masing dalam menentukan kelayakan. Namun, nisbah formula ini adalah berlainan menurut kelas masing-masing.

>Pose utama untuk kategori ini adalah seperti berikut:




BADAN CANTIK – PART 4
Jadi setelah melalui penjelasan yang maha panjang dan berjela-jela, di mana harus kita letakkan kelas Badan Cantik ini?

Nampaknya, jika disandarkan kepada peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh persekutuan-persekutuan antarabangsa, pengendalian dan penghakiman untuk kategori Badan Cantik seharusnya sama seperti pengendalian dan penghakiman untuk kategori-kategori yang selain bina badan dan Athletic/Classic Physique (iaitu Physique / Sports Physique / Model Physique / Sports Shorts / Beach Model / Fitness Model), di mana para peserta perlu mempamerkan hanya quarter-turns, dan bukan empat atau lima jenis ‘pose’.

Untuk premis yang sama, kami juga berpendapat bahawa wajar untuk para peserta Athletic Physique di Kejuaraan Mr Malaysia untuk memperagakan tujuh pose wajib, sepertimana yang dikehendaki dalam kategori bina badan, dan bukan lima poses. Rasionalnya, kami sandarkan pendapat ini pada siri posing untuk kategori ini, yang ada tujuh, di Kejuaraan Asia dan Dunia anjuran WBPF, yang merupakan badan dunia induk kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia.

Bagi kami, panduan dan peraturannya sudah sedia ada, maka wajarlah diikuti, bukan? 

Namun, bukanlah niat kami untuk meletakkan Badan Cantik di tahap paling bawah. Sejujurnya, kami amat menggalakkan lebih banyak penganjuran pertandingan untuk kategori ini, yang kami lihat sebagai satu pelantar permulaan yang sangat bagus untuk mereka yang bercita-cita untuk melangkah lebih jauh dalam sukan bina badan.

Satu lagi aspek yang kami lihat melalui pengalaman sahabat-sahabat kita di negara-negara MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) adalah versi Badan Cantik mereka yang patuh syariah – yakni, menutup aurat lelaki di khalayak ramai. Ini juga dapat dilihat di Brunei, Indonesia dan lewat beberapa tahun lepas, juga di Malaysia; jika tidak silap, bermula dengan satu pertandingan di Kelantan.

Ini adalah perkembangan yang positif, pada pendapat kami. Namun, daripada apa yang kami perolehi daripada sahabat-sahabat MENA adalah penganjur mereka tetap menyandarkan sistem pengendalian dan penghakiman mengikut padanan dengan apa yang ditetapkan oleh mana-mana persekutuan antarabangsa yang menaungi mereka.

Bagi kami, ini yang paling penting. Jika dilihat pada kesesuaian, kategori Badan Cantik haruskan dipadankan dengan sistem yang ditetapkan untuk kategori Physique / Sports Physique / Model Physique / Sports Shorts / Beach Model / Fitness Model, yang tidak mengikuti set sistem untuk bina badan dan hanya mempunyai pose quarter-turns.

Satu lagi cadangan yang kami kira penting adalah penjelasan terperinci bagi setiap kategori dalam borang penyertaan, ataupun melalui taklimat kepada para peserta. Biarpun ada pihak yang mahu Badan Cantik ini dinilai seperti bina badan – contohnya, dalam acara patuh syariah yang tidak memakai posing trunks, tapi membenarkan para peserta yang memiliki potongan susuk bina badan untuk bertanding – tanggungjawab adalah pada pihak tersebut untuk menyatakan setiap syarat dengan jelas dan terperinci, terutamanya aspek penilaian untuk permarkahan, agar tidak timbul apa-apa pertelingkahan selesai sahaja satu-satu pertandingan itu.

Apa-apa pun, amat mustahak untuk mana-mana pertandingan dijalankan secara saksama dan profesional, dipandu sepenuhnya oleh peraturan dan ketetapan yang sahih dan dipersetujui umum. Secara idealnya, aspek-aspek ini juga harus diaplikasi dalam kelas-kelas atau disiplin-disiplin sukan yang lain.

Dalam pada yang sama, para atlet atau peserta juga bertanggungjawab bukan hanya mematuhi semua syarat yang ditetapkan, tetapi juga memahami semua spesifikasi dalam mana-mana sukan yang mereka ceburi. Mereka juga mesti faham apa yang dikehendaki daripada pembabitan dan penglibatan mereka dalam setiap acara. ‘Tidak tahu’, ‘tidak faham’, ‘tidak pasti’ dan ‘tidak sedar’ tidak boleh dijadikan alasan setiap kali keputusan tidak memihak kepada mereka.

Baiklah, dalam hendak menutup hujah kami, kami memohon maaf dan pemahaman sekiranya ada yang terasa hati dengan apa yang kami kongsi di sini. Niat kami bukan untuk melaga-lagakan sesiapa.
Yang kami buat adalah mengutarakan apa yang kami faham berdasarkan apa yang kami rujuk dan silang-periksa daripada sumber-sumber yang sedia diperolehi dari laman-laman rasmi para persekutuan dunia yang utama. Kami juga senaraikan pautan kepada laman-laman tersebut buat rujukan anda.

Kami sedar bahawa isu-isu memang sentiasa akan timbul dalam bina badan, memandangkan sifat sukan ini sebagai sukan yang sangat subjektif.

Namun, yang penting adalah pemahaman dan rujukan yang optimum. Apa-apa pun, kita seharusnya berbalik kepada peraturan, syarat-syarat dan spesifikasi yang telah ditetapkan, ataupun disandarkan kepada sistem induk.


Terima kasih di atas perhatian anda. Segala komen dan maklum-balas dialu-alukan.
-SEKIAN-


NOTA
>Singkatan
IFBB = International Federation of Bodybuilding and Fitness
WBPF = World Bodybuilding and Physique Sports Federation
WFF = World Fitness Federation
NABBA = National Amateur Bodybuilders Association



Pautan


No comments:

Post a Comment